Saturday, 17 February 2018

KPDNKK mahu rungkai isu kos sara hidup - Hamzah



PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengadakan pertemuan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pengguna dalam masa terdekat bagi membincangkan isu peningkatan kos sara hidup.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata pertemuan itu adalah bagi mengetahui permasalahan yang sering dihadapi peniaga dan pengguna terutama ketika kelembapan ekonomi dunia seperti sekarang.
Katanya, mesyuarat berkenaan sepatutnya diadakan sebelum mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Menangani Kos Sara Hidup yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.



"Namun, atas sebab tertentu mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Menangani Kos Sara Hidup diawalkan pada 8 Januari ini. Justeru, kita terpaksa mengadakan pertemuan dengan NGO dan pengguna selepas mesyuarat berkenaan selesai.

"Melalui pertemuan yang diadakan ini kita berharap akan ada kata putus yang memberi kepuasan kepada semua pihak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulan Januari 2016 di kementeriannya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad.
Hamzah menegaskan, sebagai anggota sekretariat, kementeriannya mahu membantu rakyat bukan sahaja dari segi mengurangkan harga barang tetapi juga dalam cara menangani permasalahan yang sering membelenggu pengguna.

"Tahun lalu, KPDNKK sudah bertemu dengan NGO dan beberapa persatuan yang menghantar memorandum mengenai pelbagai isu yang mereka mahu kita selesaikan.

"Dengan mesyuarat yang akan diadakan nanti, kita mahu mengumpulkan semua (NGO, persatuan dan pengguna) supaya mereka dapat mengutarakan pendapat atau ketidakpuasan hati.

"Malah, segala cadangan atau keputusan akan dibuat bersama mereka. Dengan cara ini, garis panduan yang kementerian tetapkan dapat diterima oleh semua pihak," katanya.

Dalam pada itu, tambah Hamzah, mesyuarat bersama NGO dan pengguna itu juga dapat menangani isu berkaitan penguatkuasaan serta penyenaraian produk di pasaran termasuk berkaitan teknologi maklumat (IT), merangkumi telefon bimbit.

"KPDNKK akan memberikan senarai semua telefon bimbit berserta model dan pengedar yang sah bagi telefon bimbit berkenaan supaya pengguna tidak tertipu.

"Dengan cara ini, pengguna tidak perlu lagi takut untuk membeli produk di pusat IT seperti Kota Raya, MARA Digital dan Plaza Low Yat," katanya.

Sumber dari: BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment